Thursday, April 28, 2011

PKNNS BERHASRAT UJUDKAN SATU KELUARGA SATU USAHAWAN

PORT DICKSON - Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) kini sedang giat berusaha untuk meningkatkan dan menambah jumlah bilangan usahawan yang berjaya di Negeri Sembilan menerusi model pelan pembangunan usahawan yang strategik bagi tahun 2011.

Ketua Eksekutif PKNNS, Dato Mohd Yusuf b Mohd Yunus berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan upacara penutup Konvensyen Program Usahawan Muda (PUM) Ke- 13 di Bayu Beach Resort, Port Dickson malam kelmarin yang turut dihadiri oleh hampir 100 orang pelajar-pelajar dan Guru-guru dalam program yang bermula pada 26hb hingga 28hb April, 2011.

Beliau berkata, matlamat dan halatuju Perbadanan kini lebih 60% tertumpu ke arah membangunkan dan membantu golongan usahawan sekali gus menambah jumlah usahawan khususnya di Negeri Sembilan.

Tambah Dato' Mohd Yusuf pihak perbadanan mensasarkan sejumlah 3,000 usahawan yang mampu dihasilkan menerusi model pelan pembangunan itu dengan menyediakan ruang-ruang niaga untuk usahawan berniaga, disamping untuk mengembangkan perniagaan dan membantu serta menyediakan bantuan kewangan.

Juga antara lain salah satu usaha Perbadanan ialah untuk menerapkan budaya keusahawanan terutama dikalangan para pelajar supaya satu hari nanti mereka akan menceburi dan menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya mereka. Untuk itu beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan yang turut sama memberi kerjasama bagi menjayakan program seperti itu.

Selain dari itu beliau juga berharap sekurang-kurangnya dapat melahirkan sekurang-kurangnya seorang usahawan dalam satu keluarga. 

No comments:

Post a Comment