Wednesday, March 4, 2009

BENGKEL PEMURNIAN PROGRAM USAHAWAN MUDA & PROGRAM PERINTIS USAHAWAN (PPU)

Shah Alam - Seramai 38 orang perwakilan daripada pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia, Pensyarah-pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), pegawai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan pegawai Jabatan Pelajaran Negeri-Negeri dari seluruh Malaysia telah menghadiri Bengkel Pemurnian Program Usahawan Muda (PUM) dan Program Perintis Usahawan (PPU) pada 3-5 Mac, 2009 bertempat di Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD).


Bengkel ini telah merumuskan secara terperinci tatacara pelaksanaan PUM dan PPU dalam dua kategori. Kategori pertama (PUM) telah membincangkan dan memperakukan kaedah terbaik dalam melaksanakan Kursus Ahli Lembaga Pengarah, Kursus TOT (Training of Trainers) dan Taklimat kepada Pengetua-pengetua sekolah yang terlibat dengan Program Usahawan Muda. Pendekatan yang ditekankan adalah soal kerjasama daripada Pengetua-pengetua, kefahaman kepada Guru Pembimbing dan tugas dan tanggungjawab ahli lembaga pengarah. Manakala Konvensyen Nasional pula lebih menitikberatkan isu-isu kepada penilaian pemarkahan bagi setiap kategori yang dipertandingkan dan ianya juga meliputi syarat-syarat pertandingan serta hadiah-hadiah wang tunai. Bagi Konvensyen Nasional Ke-13, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis telah diberi perhormatan selaku tuan rumah untuk Program Usahawan Muda (PUM) kali ini.
Program Perintis Usahawan pula membincangkan soal-soal pelaksanaan serta modul-modul yang perlu diterapkan sesuai dengan pelajar-pelajar tahun 4, 5 dan 6 tahun sesuai dengan pembudayaan keusahawanan. Ianya juga merangkumi kursus-kursus yang perlu dihadiri oleh pelajar, Guru Pembimbing dan Guru Besar yang terlibat dengan Program ini. Bengkel ini juga merancang dan memutuskan untuk mengadakan Konvensyen Nasional Program Perintis Usahawan sebagai satu pendedahan dan kesinambungan kepada Program Usahawan Muda. Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan dihadiri oleh tiga orang pegawai terdiri daripada Encik Azry Othman, Encik Ariffin Ibrahim dan Encik Hisham Ithnin manakala wakil Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan di hadiri oleh Encik Nadzry dari SMK Dato' Abdul Samad, Tg Ipoh, Kuala Pilah. Bengkel ini telah disempurnakan dengan rasmi oleh Puan Kamariah Yeop Abdullah Pengarah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

No comments:

Post a Comment