Tuesday, May 26, 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN KUNCI KIOSK PROGRAM USAHAWAN MUDA (PUM) MERIAH

SEREMBAN- Majlis Penyampaian Kunci-Kunci Kiosk Program Usahawan Muda (PUM) Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Hotel Royale Bintang, Seremban yang dihadiri hampir 900 para jemputan berlangsung dengan begitu meriah. Majlis anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) selaku sekretariat dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) khusus bagi Program Usahawan Muda di Negeri Sembilan begitu bermakna dengan kehadiran tetamu kehormat YAB Dato' Seri Utama Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Hj. Mohamad Hassan pada petang itu.


Dalam ucapan beliau, Dato' Seri menggesa agar semua pihak perlu memberi sokongan dan dorongan terhadap Program Usahawan Muda agar hasrat kerajaan untuk mewujudkan lebih ramai usahawan muda dapat dicapai.

Pada majlis itu sekolah-sekolah yang berjaya pada Konvensyen Nasional ke-12 2008, di UiTM Shah Alam dan Konvensyen Peringkat Negeri 2009 baru-baru ini menerima anugerah berupa sijil-sijil dari YAB Dato' Menteri Besar. Turut diraikan kira-kira 90 Peserta-Peserta Kursus Program Keusahawanan anjuran PKNNS. Antara yang turut hadir ialah Pengerusi Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Yunus Rahmat, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Mohamad, ahli-ahli Exco kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan wakil INSKEN, Encik Mohamad Zuri Zainol.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan dari pelajar -pelajar sekolah SMK Lukut, Port Dickson. Penulis amat tertarik dengan persembahan tarian menerusi lagu allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berbunyi " ramai-ramai kita menari ya..ya..ya..ya" . Akhir sekali bagi pihak urusetia, kami memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau kelemahan semasa menganjur majlis tersebut. Yang baik datang dari Allah yang kurang itu datang dari kami.

No comments:

Post a Comment