Tuesday, May 26, 2009

KERATAN AKHBAR

Selasa 26HB MEI, 2009
KIOSK SEKOLAH MAMPU LAHIR USAHAWAN MUDA
NUR SHARIEZA ISMAIL

SEREMBAN - Penubuhan kiosk di setiap sekolah dilihat mampu melahirkan usahawan muda yang dinamik, sekaligus menggalakkan budaya keusahawaan diterapkan dikalangan pelajar di peringkat sekolah. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, kecenderungan menambah ilmu pengetahuan terutama dalam bidang perniagaan di kalangan pelajar ternyata dapat merangsang minat mereka bagi menceburi bidang keusahawanan.

Oleh sebab itu katanya, usaha meniup semangat berniaga di kalangan pelajar harus diperhebatkan, malah perlu diterjemahkan dalam satu medium yang boleh membantu supaya pendedahan bagi mendapatkan kepakaran dalam bidang keusahawanan itu dipelajari dengan baik. Mohamad berkata, dalam bidang perniagaan, yang paling penting adalah kepakaran selain pengalaman yang harus ditempuh kerana pelajar tidak akan dapat menimba ilmu melalui buku melainkan daripada pengalaman. "Ilmu melalui buku tidak dapat memberi pendedahan, sebaliknya hanya pengalaman sahaja yang mampu menerapkan budaya keusahawanan kerana ia memberi pelajar merasai pengalaman sebenar sebagai usahawan ," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Kunci-Kunci Kiosk Program Usahawan Muda dan Sijil-Sijil Latihan Keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) disini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat, Exco-exco kerajaan negeri, Pengarah Jabatan Pelajaran Datuk Abdullah Mohamad serta Ketua Eksekutif PKNNS, Datuk Ibrahim Ahmad. Sehubungan dengan itu Mohamad berkata, pelajar yang memunyai minat menjadi usahawa muda harus mengenal erti kesusahan. "Erti kesusahan itu harus dipelajari di peringkat mula supaya dapat menguji sejauh mana tahap kesabaran diri.

Dalam pada itu Mohamad turut berkata, ketika ini sudah banyak agensi yang boleh memberi bantuan kepada mereka, sama ada yang baru mula ataupun sedang bergiat dalam bidang ini. "Justeru ia bukan menjadi kekangan kepada usahawan muda untuk mendapatkan bantuan bagi melihat mereka terus berkembang," katanya.

Selasa 26hb Mei, 2009
Program diusahakan bagi menanam minat pelajar berniaga

Sokong Kios Usahawan Muda
Hussaini Amran

SEREMBAN - Pengusaha kantin dan kedai koperasi sekolah perlu membuang tanggapan negatif mendakwa Kios Program Usahawan Muda menyebabkan perniagaan mereka terjejas, sebaliknya perlu menganggap ia sebagai satu persaingan sihat dalam perniagaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanggapan itu membunuh semangat pelajar-pelajar sekolah yang ingin mempelajari selok-belok dunia perniagaan.Menurut beliau, masalah persaingan sememangnya tidak dapat dielakkan namun ketiga-tiga pihak terbabit boleh berunding bagi mencari jalan penyelesaian.

"Kerajaan negeri tidak mahu usaha murni melahirkan usahawan muda di kalangan pelajar mendatangkan perpecahan di kalangan komuniti perniagaan di sekolah," jelasnya.Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Kunci-Kunci Kios Program Usahawan Muda dan Sijil-Sijil Latihan Keusahawanan Anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) di Hotel Royale Bintang dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat; Ketua Eksekutif PKNNS, Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Abdullah Mohamad.Sebanyak 10 sekolah yang menyertai Program Usahawan Muda di negeri ini menerima kunci kios yang disampaikan oleh Mohamad.Sehingga kini, 44 sekolah di negeri ini mempunyai kios di bawah program berkenaan dan 12 sekolah lagi akan melaksanakan program serupa menjelang awal tahun depan.

Mohamad menambah, pihak pengurusan sekolah perlu berperanan menetapkan jenis produk yang dijual di kios Program Usahawan Muda, kantin serta kedai koperasi."Sebagai contoh, kios Program Usahawan Muda boleh menjual peralatan elektronik dan kad prabayar telefon kerana kedua-dua produk berkenaan lazimnya tidak dijual di kedai koperasi atau kantin."Yang pentingnya, kerajaan negeri mahu lihat ketiga-tiga entiti perniagaan terbabit saling melengkapi dan bukannya bersaing antara satu sama lain," kata beliau.Menurut Mohamad, kesemua pihak sewajarnya memberi sokongan padu terhadap program itu agar hasrat kerajaan mewujudkan lebih ramai usahawan muda dapat dicapai.

No comments:

Post a Comment